Jumaat, September 28, 2018

Dr Mahathir Tarik Perhatian Hadirin

NEW YORK: Tun Dr Mahathir Mohamad menampilkan sisi bersahaja klasiknya apabila tangkas menjawab pelbagai persoalan dibangkitkan.

Bercakap pada forum Majlis Hubungan Luar di sini, Perdana Menteri berkongsi pendapat secara terbuka berhubung beberapa isu termasuk China dan pandangannya terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Berhubung keputusan membatalkan kontrak dengan China, Dr Mahathir menegaskan, Malaysia perlu menghentikan tindakan yang menjejaskan ekonomi.

“Ia bukan disebabkan oleh China. Ia kerana kerajaan terdahulu membuat terlalu banyak pinjaman untuk kontrak yang tidak menguntungkan Malaysia dan itu perlu dihentikan.

“Memanglah kontraktor menanggung rugi tetapi kita sudah jelaskan mereka bukan puncanya.

“Sebaliknya, perdana menteri sebelum ini membuat kontrak yang menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Menurut portal Berita Harian, Dr Mahathir berkata, hubungan Malaysia dan China ‘masih baik’.

Menjawab soalan sama ada wujud tentangan terhadap China di Asia, Perdana Menteri berkata, ia cenderung kepada penentangan ke atas pelaburan yang lebih menguntungkan China.

“Dalam hal membabitkan Malaysia, kontrak ini memerlukan kita meminjam dari China dan syaratnya ia mesti diberi kepada syarikat dari China manakala wang berkenaan langsung tidak memasuki Malaysia.

“Pembayaran dibuat di China kepada kontraktor dari China pada waktu ditetapkan. Bayaran perlu dibuat tanpa mengira tahap kemajuan projek,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia terpaksa membuat rundingan semula perjanjian berat sebelah beberapa projek sebelum memutuskan untuk mengecilkan saiz, menangguh atau membatalkan terus yang tidak berdaya saing.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Dr Mahathir berkata, China tidak mempunyai penguasaan mutlak hingga boleh melarang kapal dan kapal perang daripada memasuki perairan itu.

“Kami kerap memberitahu China dan menegaskan tiada salahnya mempunyai dasar ‘ One Belt One Road’ asalkan mereka membenarkan kapal melintasi Selat Melaka dan Laut China Selatan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia menentang kehadiran kapal perang di kawasan terbabit kerana ia boleh menimbulkan ketegangan.

Mengenai pendekatan berbeza wajar diambil Trump berhubung dasar terhadap Asia, Dr Mahathir tegas memberi pandangannya.

“Perlu konsisten. Perlu konsisten. Jika anda ingin menentang kami, berterus-terang dan katakan anda ingin menentang kami. Jika anda tidak mahu menentang kami dan ingin menjadi sahabat kami, jadilah sahabat kami,” katanya.

Mengulas dasar Trump mengenai Asia, Dr Mahathir berpandangan Presiden AS itu tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenainya.

“Saya dapat rasakan tidak banyak yang beliau ketahui mengenai Asia dan oleh sebab itu, beliau membuat keputusan yang tidak berdasarkan realiti atau hakikat sebenar,” katanya.

Dr Mahathir yakin rakyat AS tidak gembira dengan Trump. 
“Saya rasa Presiden AS adalah pemimpin yang amat berkuasa. Apa juga yang dilakukannya memberi kesan terhadap seluruh dunia.

“Justeru, ia lebih berkisar kepada personaliti, bukannya negara. Saya tidak fikir rakyat Amerika bersetuju sepenuhnya dengan Presiden mereka sepanjang masa.

“Malah, kali ini, saya rasa lebih ramai rakyat Amerika yang tidak gembira dengan presiden mereka berbanding presiden lain selama ini,” katanya.

0 Komen: