[SHAH ALAM - 14/1/2017]
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ingin menjadi parti politik yang mengembalikan kegemilangan Malaysia.
Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi PPBM berkata antara tujuan utama penubuhan PPBM adalah untuk menggembleng kerjasama bagi mewujudkan sebuah kerajaan baru dalam pilihan raya akan datang.
PPBM merupakan komponen dalam parti campuran pembangkang akan menggunakan satu simbol, satu manifesto dan hanya satu calon sahaja di setiap kawasan.
Campuran pembangkang bersedia untuk menghadapi cabaran perlawanan tiga penjuru atau lebih, ucap Tun semasa pelancaran PPBM di Stadium Malawati pada Sabtu.
Tun Dr Mahathir turut menggariskan beberapa perkara yang akan diperjuangkan PPBM dalam usaha mencabar Barisan Nasional (BN).
Antaranya adalah rakyat bebas melapor dan mendakwa jika terdapat salah laku atau jenayah yang dilakukan tanpa pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang, kebebasan media dan kebebasan melaporkan kebenaran.
Pemansuhan GST secara beransur-ansur dengan digantikan cukai jualan mengikut kemampuan atau kehendak rakyat manakala usaha mempertahankan nilai mata wang tanpa penjualan dolar Amerika dalam simpanan negara turut digariskan.
Majlis Pelancaran PPBM telah dihadiri lebih 5,000 orang serta rakan Pakatan Harapan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu serta Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali turut hadir di majlis tersebut.
0 Komen:
Catat Ulasan